New Page 1
         
 HOME   l   ABOUT US   l   STORES   l   SERVICES    l   NEWS   l   CONTACT US
 
    Back  

BERITA HARIAN

Wednesday, June 16, 2010

HERBT Weiler (dua dari kiri) dan Dr Guenter Grber pada pembukaan butik OE di KLCC, baru-baru ini.

BAGAIKAN bintang terapung-apung kala gelap menyelubungi malam. Keindahan kilauan berlian itu, lantas diterjemahkan menerusi himpunan terkini digelar C-Natasha, hasil seni jauhari ternama, Oeding-Erdel Jewellery (OE Jewellery).

Sebegitu tinggi sanjungan OE, terhadap pencinta aksesori wanita yang mampu meluahkan keindahan malam ditaburi bintang malam. Koleksi C-Natasha begitu istimewa apabila pembuatannya menghasilkan berlian yang kelihatan terapung lantaran kaki pemegangnya berada pada bahagian belakang butiran batu berkenaan.

Bahagian dasarnya diperbuat daripada cermin, melantunkan lagi keindahan berlian manakala bingkai yang menutupi hasilnya diperbuat daripada emas, satu lagi bukti ketelitian perinciannya.

KOLEKSI untung Kegemaran kaum Cina.

Pengurus OE, Melissa Khoo, berkata himpunan itu ada ada loket yang boleh digandingkan pelbagai jenis rantai leher serta subang.

“Sekiranya seorang wanita memakai C-Natasha, wanita berkenaan kelihatan anggun, lantaran ia mampu membiaskan cahaya ketika berada di bawah malap lampu makan malam yang romantis,” katanya ketika ditemui pada pelancaran butik OE di KLCC baru-baru ini.

Majlis pembukaan butik berkenaan dilakukan Duta Jerman ke Malaysia, Dr Guenter Gruber. Turut hadir Pengarah Urusan OE, Datuk Herbert Weiler.
Koleksi C-Natasha hasil ilham jauhari, Andreas Capol yang menyertai OE sejak 1979 dan menetap di Pulau Pinang.
Pada 1990 Capol, yang juga Pengarah Teknikal OE, menghasilkan koleksi baru, menjurus kepada bentuk hati. Perkara diketengahkan dalam koleksi berkenaan ialah berhubungan keunikan rekaan.

Patennya berkonsepkan tiga dimensi yang mana biasan berlian terpancar menerusi kemasan kaca pada bahagian dasar, selain bingkai menutupi berlian berkenaan menjadikan ia seakan-akan terapung. Ketelitian koleksi berkenaan sebagai sanjungan kepada anak perempuannya, apabila beliau mengabadikan koleksi itu sempena nama anak perempuannya, Natasha.

Lebih menarik apabila koleksi itu terjual hingga cawangan luar negara OE dan antara himpunan terbaik jenama itu hingga ke hari ini. C-Natasha menampilkan set subang dan loket daripada berlian diikat dengan emas putih dengan kombinasi emas kuning yang menyuntik nuansa unggul kepada pemakai. Koleksi ini sesuai digayakan wanita kerana rekaannya yang cantik dan halus.

OE Jewellery turut terkenal lantaran sanjungannya kepada pereka tempatan, apabila menyelaraskan barang kemas dengan perekaan busana yang dihasilkan pereka fesyen negara ini, seperti Khoon Hooi, Kem Salleh, dan Ashley Wong.

Sementara itu koleksi La Storia, yang dihasilkan juga adalah antara koleksi barang kemas istimewa diperkenalkan OE, khusus mengikut kesesuaian keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan pada masa kini kerana koleksi baru itu menawarkan harga yang paling rendah setakat ini berbanding koleksi lain atau yang pernah diperkenalkan jenama berkenaan sebelum ini.

Khoo berkata, dalam keadaan orang ramai berjimat cermat ini adalah masa yang paling sesuai untuk memperkenalkan aksesori seperti ini. Antara tujuan aksesori ini diperkenalkan ialah agar jenama dapat berterusan mewujudkan kemesraan dengan pelanggan walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan.

“Dengan menampilkan aksesori yang harganya lebih murah dan berpatutan, pelanggan masih boleh membeli dan memiliki aksesori menarik untuk menambahkan koleksi sedia ada. Malah, koleksi ini juga menarik dijadikan hadiah istimewa apatah lagi, membeli aksesori untuk dijadikan pemberian ikhlas atau tanda kasih kepada orang disayangi dan mewujudkan suasana romantik sememangnya sesuatu yang cukup bermakna serta sudah menjadi tradisi OE sejak dulu,” katanya.

   
Shop for jewellery here